Dua pusat pemulihan banjir di Lundu ditutup, air surut sepenuhnya

Dua pusat pemulihan banjir dengan 70 mangsa ditutup jam 2 petang hari ini (Dis 8, 2019).

KUCHING, Nov 8: Dua pusat pemindahan mangsa banjir di Daerah Lundu ditutup hari ini berikutan keadaan banjir di kawasan tersebut pulih sejak pagi tadi.

Menurut Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri(JPBN) Sarawak, Mejar Ismail Mahedin, kedua-dua pusat pemindahan adalah Sekolah Kebangsaan(SK) Sebat dan Balairaya Kampung Sebat Dayak.

“Kedua-dua pusat ditutup secara rasmi jam 2 petang tadi setelah keadaan bertambah baik dengan air telah surut sepenuhnya,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.


Tambah Ismail, kedua-dua pusat telah dibuka pada 7 Disember jam 8 pagi setelah paras air semakin naik akibat hujan lebat tanpa henti beberapa hari sebelumnya.

SK Sebat menempatkan 13 keluarga yang membabitkan 48 orang dan Balairaya Kampung Sebat Dayak menempatkan 7 keluarga dengan 22 orang.

Kesemua mangsa telah dihantar pulang ke rumah masing-masing dengan selamat. — DayakDaily