Dua penyamun dicekup kurang 24 jam selepas merompak kedai runcit

Royal Malaysia Police logo

KUCHING, Ogos 14: Dua penjenayah yang melarikan wang tunai sebanyak RM1,560, empat unit telefon bimbit dan dua pasport milik dua pekerja warga Indonesia berjaya dicekup kurang dalam tempoh 24 selepas merompak sebuah kedai runcit di Taman Suria Jaya Matang pada malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata, kedua-dua suspek berusia 40 dan 21 tahun itu diberkas susulan laporan polis yang diterima daripada pemilik kedai berkenaan.

Menurutnya, suspek pertama yang berusia 21 tahun telah ditahan sepasukan anggota polis daripada cawangan D9 JSJ IPK pada pukul 8 pagi di sebuah rumah di Taman Sukma, Jalan Sultan Tengah di sini.


“Susulan penahanan suspek pertama membawa kepada tangkapan suspek kedua di sebuah rumah di Taman Malihah, Matang pada pukul 4.30 petang menerusi serbuan daripada pasukan polis sama.

“Menerusi tangkapan suspek terbabit, pihak polis telah merampas sebuah kereta Perodua Axia yang digunakan kedua suspek semasa kejadian, selain merampas dua unit telefon, topi keledar dan sehelai baju berwarna hitam daripada suspek,” katanya hari ini.

Aidil menambah, siasatan awal mendapati kejadian rompakan itu dilaporkan berlaku pada pukul 8.30 malam pada Ahad.

Katanya, semasa kejadian itu, empat pekerja masih berada di kedai runcit tersebut dan sedang mengira wang untuk bertukar syif.

“Semasa pekerja mengira wang di kaunter bayaran, mereka telah didatangi oleh dua orang lelaki, salah seorang memakai helmet merah dan seorang lagi memakai jaket ‘hoodie’.

“Salah seorang lelaki itu kemudian menunjukkan satu bungkusan dan mengugut bahawa itu adalah sebutir bom untuk menakutkan mangsa, manakala seorang lagi suspek terus mengambil wang dari laci kaunter dan empat unit telefon bimbit milik pekerja yang berada di kedai berkenaan,” katanya.

Sambil menambah, suspek juga melarikan dua pasport milik pekerja pengadu warga Indonesia dan terus melarikan diri dengan menggunakan sebuah kereta jenis Axia berwarna putih.

“Pemilik kedai tersebut kemudian bergegas ke premis perniagaannya selepas dimaklumkan kejadian oleh pekerjanya dan membuat laporan polis selepas itu untuk tindakan lanjut,” katanya. — DayakDaily