Dua beradik mati rentung dalam satu kebakaran di Lingga

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran.

SRI AMAN, Ogos 14: Malang menimpa dua beradik apabila mereka ditemui mati rentung selepas kediaman keluarganya di Kampung Hilir Lingga musnah terbakar hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 4.24 petang itu mengakibatkan, mangsa, Zulkarnain Ajizul, 5, dan Zulfadli Ajizul, 2, disahkan meninggal dunia akibat rentung.

Berdasarkan maklumat dari ibu kepada kanak-kanak malang tersebut, semasa kejadian kedua-dua anaknya sedang tidur dan dia hanya sempat menyelamatkan anak perempuan yang berusia 8 tahun.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 4.25 petang.

Menurut beliau, sebaik menerima maklumat mengenai insiden berkenaan, sepasukan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman telah bergegas ke lokasi untuk melakukan operasi memadam kebakaran itu.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, komander operasi melaporkan sebuah rumah kampung tidak kekal satu tingkat telah terbakar dan dipercayai dua orang kanak-kanak lelaki terperangkap di dalam kediaman tersebut.

“Pasukan bomba kemudian melakukan operasi memadam kebakaran sehingga api terkawal sepenuhnya sebelum membuat kerja pemadaman sisa kebakaran,” katanya di sini hari ini.

Anggota bomba menemui mayat dua beradik yang ditemui mati rentung.

Nor Hisham menambah, operasi mengeluarkan dua mangsa itu kemudian dilakukan oleh pasukan bomba dengan pemugaran terlebih dahulu.

Katanya, setelah kedua-dua mangsa berjaya dijumpai pasukan bomba terus mengangkat mayat mangsa dengan menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 6.25 petang dan punca kejadian kebakaran itu masih lagi dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily