Dua penjual judi dalam talian ditangkap di Matang

Gambar komposit semasa penahanan kedua-dua suspek.
Advertisement

KUCHING, 25 Ogos: Dua lelaki ditangkap dalam dua serbuan berasingan membanteras kegiatan judi dalam talian di Matang, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata kedua-dua suspek dilaporkan bekerja sebagai penjual judi dalam talian.

Katanya, serbuan pertama di bawah Op Dadu tersebut dilakukan di sebuah kedai kafe di Matang Jaya, di sini sekitar jam 3 petang.

Advertisement

“Anggota operasi bertindak menangkap seorang lelaki berusia 22 tahun yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah dan semasa disoal siasat dia mengaku bekerja sebagai penjual judi dalam talian,” katanya.

Aidil dalam kenyataan medianya itu turut memberitahu suspek kedua iaitu seorang duda berusia 42 tahun ditangkap dalam serbuan kedua juga di Matang Jaya.

“Suspek semasa diperiksa mulaya disyaki menjalankan kegiatan judi dalam talian.

“Hasil siasatan dia kemudian mengaku bekerja sebagai penjual judi dalam talian,” katanya.

Semakan juga mendapati kedua-dua suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan judi.

Mereka kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4(1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Pasukan serbuan juga merampas telefon bimbit dan sejumlah wang tunai daripada kedua-dua suspek,” katanya. — DayakDaily

Advertisement