Dua penjenayah tegar ditangkap, disyaki terlibat pecah rumah di Stutong

Siasatan dijalankan di lokasi suspek ditangkap.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 16 Julai: Dua lelaki dipercayai penagih dadah dengan masing-masing mempunyai lebih 10 rekod jenayah lampau ditangkap kerana disyaki terlibat dua kes pecah rumah di kawasan Stutong baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kedua-dua suspek berusia 23 dan 25 tahun terbabit ditangkap Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching pada 13 Julai.

Katanya, siasatan lanjut polis telah berjaya menemui komputer riba, mesin pengisar makanan dan penapis air yang sebelum ini telah dilaporkan hilang dalam kedua-dua kes pecah rumah tersebut.

“Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, polis percaya telah berjaya menyelesaikan dua kes pecah rumah yang dilaporkan di kawasan Stutong pada Jun dan Julai baru-baru ini.

“Suspek pertama yang berumur 25 tahun memiliki 14 rekod jenayah lampau, manakala suspek kedua berumur 23 tahun memiliki 16 rekod jenayah lampau.

“Ujian saringan urin kedua-dua suspek juga adalah positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 21 Julai ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda,” katanya. — DayakDaily