Dua pemuda maut, kereta terbabas di Serian

Keadaan kereta mangsa yang remuk selepas kemalangan tersebut semalam. ( Mac 31, 2022)

SERIAN, 1 April: Dua lelaki meninggal dunia selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 64, Jalan Kuching-Sri Aman, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan kendiri itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 10.35 malam.

Katanya, kedua-dua mangsa yang berusia 24 dan 37 tahun itu semasa kejadian dikatakan dalam perjalanan dari arah Sri Aman menuju ke Serian.


Jelas beliau, kereta mangsa dipercayai telah hilang kawalan semasa menuruni jalan raya yang berbukit lalu terbabas ke bahagian tepi sebelah kiri jalan dan melanggar tebing bukit.

“Kedua-dua mangsa telah tercampak keluar dari dalam kereta dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan Hospital Serian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily