Oleh Dean Adam
MIRI, Feb 13: Dua individu nyaris maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jambatan Pujut 7 di sini awal pagi tadi.
Bagaimanapun, kejadian kira-kira pukul 1.35 pagi itu mengakibatkan kedua-dua mangsa patah tangan dan kaki.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.38 pagi.
Katanya, sejurus itu sepasukan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah Perodua Kancil dan sebuah motosikal Honda Wave.
“Pemeriksaan lanjut menyebabkan pemandu kereta terperangkap di bahagian tempat duduk dan patah kaki kanannya,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap sama menambah, pasukan bomba menjalankan operasi mengalih motosikal yang masih terperosok di bawah Perodua Kancil.
Katanya, kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
“Operasi tersebut telah tamat pada pukul 2.37 pagi,” jelasnya. — DayakDaily