Dua maut, tiga cedera dalam kemalangan di Selangau-Mukah

Keadaan di lokasi kejadian.

SELANGAU, 17 April: Dua lelaki disahkan meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua buah pikap di Jalan Selangau-Mukah, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhuhung kejadian pada jam 11.15 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Kemalangan tersebut melibatkan dua buah Toyota Hilux iaitu sebuah jenis Single Cabin dan sebuah lagi Double Cabin.

“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan kedua-dua pemandu kenderaan yang tersepit dan berjaya dikeluarkan sebelum disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Manakala tiga lagi penumpang Toyota Hilux Double Cabin turut dilaporkan mengalami kecederaan.

“Penumpang yang cedera iaitu seorang wanita dan dua lelaki masing-masing telah dibawa ke klinik kesihatan Selangau oleh orang awam sebelum kehadiran pasukan bomba,” katanya.

Pasukan bomba kemudian melakukan pembersihan serpihan kemalangan di jalan raya bagi mengelakkan sebarang risiko dan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

“Setelah mendapati keadaan selamat serta terkawal, pasukan bomba kemudian berangkat balik ke balai,” — DayakDaily