Dua maut, lima cedera dalam nahas dua kenderaan

Pasukan bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Oleh Dean Adam

SRI AMAN, Jan 7: Dua individu maut, manakala lima lagi cedera dalam satu kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di simpang Jalan Batu Lintang di sini hari ini.

Bagaimanapun, setakat ini identiti mangsa masih belum diketahui lagi.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata, seorang mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala katanya, seorang lagi disahkan meninggal dunia di Hospital Sri Aman semasa menerima rawatan kecemasan.

“Berdasarkan maklumat diterima pada pukul 1.40 petang, kemalangan itu melibatkan sebuah kereta Proton Waja dan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.

Keadaan kemalangan melibatkan dua buah kenderaan.

“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman telah bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, apabila tiba di lokasi kemalangan, pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya, pertembungan kuat itu telah mengakibatkan kedua-dua kenderaan remuk teruk.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Sri Aman untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. — DayakDaily