Dua maut dalam kemalangan di Kota Samarahan

Keadaan kedua-dua kenderaan mangsa remuk.

KOTA SAMARAHAN, 10 Dis: Seorang lelaki warga emas antara dua yang terkorban dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 7, Jalan Kota Samarahan-Asajaya hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa warga emas terbabit merupakan penunggang motosikal dan seorang lagi yang maut ialah pemandu kereta Perodua Alza.

Katanya, mangsa, 67 tahun dan berasal dari Kampung Rebak semasa kejadian menunggang motosikal dari arah Kota Samarahan menuju Asajaya telah dilanggar Alza tersebut yang dipercayai cuba memotong.


“Selapas pelanggaran tersebut, dipercayai Alza cuba melarikan diri dan telah bertembung dengan sebuah lori iaitu kira-kira 500 meter dari lokasi kemalangan pertama,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pemandu Alza, lelaki berusia 36 tahun dan penunggang motosikal disahkan meninggal dunia selepas diperiksa kakitangan KKM di lokasi kejadian.

Pemandu lori dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987. — DayakDaily