Dua lombong kripto yang mencuri elektrik dilumpuhkan IPD Padawan

Rampasan mesin lombong kripto dari lokasi serbuan.

KUCHING, 20 Mei: Dua premis yang dijadikan pusat melombong mata wang kripto di Batu 6, Taman Lee Ling dan Siburan dilumpuhkan dalam Op Mining-Bitcoin semalam selepas diketahui mencuri elektrik.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata operasi bersepadu tersebut dijalankan bersama kakitangan Sarawak Energy Berhad (SEB).

Katanya, kedua-dua premis tersebut dipercayai telah beroperasi sejak 36 bulan dan mengakibatkan kerugian mencecah RM1.4 juta disebabkan penyambungan elektrik secara haram.


Dalam operasi tersebut, turut dirampas daripada dua premis tersebut ialah peralatan melombong kripto yang dianggarkan keseluruhannya mencecah RM87,000.

Kesemua rampasan telah dibawa ke IPD Padawan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan.

Tiada tangkapan dibuat sepanjang operasi tersebut, namun tegas Abang Zainal, pihaknya sedang memburu pemilik premis atau penyewa premis untuk melengkapkan siasatan. — DayakDaily