Dua lokasi di Sibu Jaya dipasang kawat duri

Anggota Batalion Ketiga Rejimen Renjer Diraja (3 RRD) ATM memasang kawat duri di kawasan perumahan Flat dan Towns Villa Sibu Jaya.

Oleh Cornelius Kadir Edison

SIBU, 11 Feb: Kawat berduri mula dipasang di dua kawasan di Sibu Jaya selepas kawasan terbabit diisytiharkan sebagai kawasan dibawah perintah kawalan pergerakkan diperketat (PKPD).

Sel Perhubungan Raya Markas Divisyen Pertama Infantri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan berkata kawasan terbabit perumahan Flat dan Town Villa.


Katanya seramai 24 anggota daripada Batalion Ketiga Rejimen Renjer Diraja (3 RRD) ATM diaturgerakkan ke dua lokasi berkenaan bagi membantu pemasangan kawat berduri berkenaan pada hari ini (11 Feb).

Anggota Batalion Ketiga Rejimen Renjer Diraja (3 RRD) ATM memasang kawat duri di kawasan perumahan Flat dan Towns Villa Sibu Jaya.

“Pemasangan kawat berduri (concertina wire) dilaksanakan di kawasan tersebut berikutan daripada pengisytiharan sebagai kawasan PKPD mulai hari ini (11 Feb) hingga 25 Februari nanti,” katanya.

Jelasnya, pemasangan kawat duri berkenaan sebagai salah satu langkah bagi memperketatkan kawalan keselamatan di kawasan terbabit yang telah diisytiharkan sebagai kawasan berisiko jangkitan Covid-19.

Ujarnya ATM sentiasa bersedia untuk membantu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu dalam melaksanakan kawalan ketat ke atas kawasan terlibat sekaligus membantu bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 di kawasan terbabit. ā€” DayakDaily