Dua lelaki tempatan, seorang wanita dicekup disyaki miliki senjata api buatan sendiri

Kelihatan tiga laras senjata api yang dirampas.

LIMBANG, Okt 3: Dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga Indonesia diberkas selepas disyaki memiliki senapang patah buatan sendiri dan dua laras senapang angin dalam satu serbuan di sebuah rumah pekerja burung layang-layang di sini tengah malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira pukul 12.10 tengah malam itu, ketiga-tiga suspek yang ditahan berusia antara 37 hingga 43 tahun.

Ketua Polis Daerah Limbang, Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tangkapan dilakukan susulan maklumat awam dan risikan yang dijalankan sebelum itu.


Katanya, semasa serbuan itu, polis telah merampas selaras senapang patah disyaki buatan sendiri dan dua laras senapang angin.

“Polis turut merampas tiga kotak peluru senapang angin jenama Sharp Silver Point berjumlah 130 butir,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Abang Zainal menambah, polis turut merampas dua butir peluru hidup senapang patah warna putih jenama GB postas/GB Buck.

Katanya, selain itu polis juga menemui dan merampas dua butir peluru hidup senapang patah warna biru jenama IME Rimba 4/70.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjatapi 1960,” ujarnya. — DayakDaily