Dua lelaki tempatan ditangkap seludup PATI di Serian

Kedua-dua suspek yang ditangkap selepas melarikan diri daripada sekatan jalan raya.

SERIAN, 3 Jun: Dua lelaki warga tempatan ditangkap dipercayai cuba seludup enam pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam dua operasi berasingan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata tangkapan pertama ialah pada 31 Mei iaitu sekitar jam 8.30 malam.

Jelasnya, sebuah kereta telah memecut laju melarikan diri daripada diperiksa dalam sekatan jalan raya berdekatan Kampung Mongkos, Serian.


“Bertindak kepada laporan tersebut, Team Pemantau PKP IPD Serian berjaya menahan kereta tersebut di Jalan Kampung Seroban, Serian.

“Hasil pemeriksaan mendapati kereta tersebut dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun warga tempatan dan beralamatkan dari Taman Hui Sing, Kuching.

“Selain itu, terdapat juga seorang lelaki warga Indonesia dan hasil pemeriksaan mendapati dia mempunyai passport, tetapi telah tamat tempoh dan tinggal lebih masa yang dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kedua suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati warga asing tersebut masuk ke Sarawak melalui jalan tikus di Kampung Mongkos dan dijemput suspek dengan upah RM200 untuk dihantar bekerja di sebuah ladang sawit di Simunjan,” katanya.

Kejayaan kedua adalah pada 2 Jun iaitu sekitar jam 2.15 petang di sebuah ladang sawit di Kampung Mongkos.

Menurut Aswandy, anggotanya telah menahan sebuah kereta yang mencurigakan dan didapati terdapat enam lelaki didalamnya.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu merupakan warga tempatan berusia 23 tahun berasal dari Jalan Stapok dan lima lagi ialah PATI.

“Siasatan awal mendapati suspek mendapat upah RM300 seorang (PATI) untuk dihantar ke Kuching,” katanya.

Kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Akta Atipsom 2007, dan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63. — DayakDaily