Dua lelaki ditahan selepas disyaki rogol wanita OKU

Anggota polis menahan dua suspek bagi membantu siasatan.

Oleh Dean Adam

PADAWAN, April 26: Padah selepas disyaki merogol seorang wanita orang kurang upaya (OKU) sehingga mengakibatkan mangsa mengandung dan melahirkan seorang bayi, polis menahan dua lelaki untuk membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Merbin Lisa, berkata susulan laporan yang diterima, polis telah menahan dua lelaki masing-masing berusia 48 dan 50 tahun pada pukul 11 pagi.

Jelas beliau, kedua-dua suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau itu kemudian dibawa ke IPD Padawan untuk tindakan lanjut.

“Polis akan melakukan permohonan reman ke atas suspek bagi membantu siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Merbin menambah, sebelum itu, berdasarkan laporan diterima, mangsa yang pekak dan bisu sejak lahir telah melahirkan bayi lelaki di Hospital Umum Sarawak pada 23 April lalu.

Katanya, mangsa menyatakan telah menjalinkan hubungan seks bersama tiga lelaki yang dikenali dan tinggal satu kampung bersama keluarga mangsa.

“Jurubahasa yang bertauliah akan dipanggil bagi membantu merakam keterangan mangsa kelak kerana mangsa tidak dapat menjawab soalan yang ditujukan kepadanya.

“Manakala seorang lagi suspek sedang dikesan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. ā€” DayakDaily