KUCHING: Dua lelaki ditahan untuk siasatan lanjut selepas didapati memiliki senjata api serta samurai dan parang ketika diperiksa berdekatan Pasar Sungai Maong, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad bin Abang Julai berkata kedua-dua suspek berusia 27 dan 47 tahun masing-masing berasal dari Sebuyau.
Menurutnya, kedua-dua suspek terbabit ditahan oleh anggota Balai Polis Satok sekitar jam 2.15 pagi.
“Sepasukan anggota polis Balai Satok membuat rondaan di tempat letak kereta Pasar Sungai Maong dan memeriksa sebuah kereta Kancil yang dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan menjumpai beberapa senjata api dan senjata merbahaya.
“Dua lelaki yang berada di dalam kereta tersebut kemudian ditahan dan akan direman untuk siasatan lanjut,” katanya yang mengesahkan tangkapan tersebut sebentar tadi.
Antara yang dijumpai di dalam kereta tersebut ialah 3 butir peluru, 2 laras senjata api, 2 parang, 2 samurai dan 1 beg mengandungi alat untuk membakar dadah jenis Syabu.
Siasatan lanjut pihak polis di bawah Seksyen 8 As 1960 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan letupan serta Senjata Merbahaya.