Dua lelaki disyaki ‘tokan’ dadah ditangkap di Kuching

Gambar komposit menunjukkan motosikal dan dadah yang dirampas daripada dua suspek itu.

KUCHING, 23 Feb: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya menangkap dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah pada Isnin (21 Feb).

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kedua-dua suspek berusia 21 tahun itu ketika ditahan sedang menaiki sebuah motosikal di Tabuan Jaya sekitar jam 10 malam.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui dadah jenis ganja dengan anggaran berat sekitar 204 gram dan bernilai RM2,800.


Selain itu, hasil ujian air kencing kedua-dua suspek juga disahkan positif untuk dadah jenis ganja.

Kedua-dua suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Manakala untuk kesalahan positif dadah, dua suspek itu turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang membawa hukuman penjara dan denda jika disabitkan kesalahan.

Kedua-dua suspek juga didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau. — DayakDaily