Dua lelaki disyaki penagih dadah ditangkap di Kg Bidi, Bau

Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

BAU, 14 Jan: Dua lelaki disyaki penagih dadah ditangkap di Kampung Bidi Krokong, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, kedua-dua suspek yang berumur 25 dan 29 tahun itu ditahan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau sekitar jam 11.15 pagi.

Katanya, kedua-dua suspek mulanya dilihat dalam keadaan mencurigakan serta cuba menyembunyikan diri daripada diberkas polis.

“Dalam siasatan awal, keduanya mengaku terlibat dalam pengambilan dadah berbahaya yang diperolehi dari rakan.

“Suspek juga mengaku menghisap dadah di tempat lain sebelum kehadiran polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kedua-dua suspek kemudian di bawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau untuk ujian saringan awal air kencing.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek disahkan positif dadah berbahaya,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. ― DayakDaily