Oleh Dean Adam
BELAGA, Mei 12: Dua lelaki dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas sebuah bot yang dinaiki mereka dipercayai karam di Tasik Empangan Bakun dekat sini semalam.
Bagaimanapun, setakat ini identiti kedua-dua mangsa masih belum diketahui lagi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihak bomba hanya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 4.10 petang.
Jelasnya, selepas melakukan perbincangan dengan pihak polis mengenai kes itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hanya dilakukan bermula hari ini disebabkan lokasi yang jauh selain terpaksa menggunakan bot untuk ke tempat kejadian.
“Berdasarkan maklumat diterima, dua mangsa bersama dua lagi rakan mereka dikatakan keluar memancing dengan menggunakan sebuah bot di kawasan tasik empangan berkenaan.
“Bagaimanapun, dipercayai sebab arus sungai yang deras, bot dinaiki dua mangsa dan dua rakan mereka dikatakan telah karam,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap sama menambah, dua rakan mangsa dikatakan selamat selepas berjaya berenang ke tepi tasik empangan tersebut.
Namun malang katanya, dua lagi mangsa dikatakan terus hilang dibawa arus yang deras.
“Setakat ini, operasi SAR masih lagi dilakukan dan maklumat berhubung kes ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” ujarnya. — DayakDaily