Dua lelaki cemas digigit anjing disyaki pembawa virus rabies

Kelihatan anjing yang menggigit dua lelaki dalam kereta.

KUCHING, April 1: Dua individu berdepan detik mencemaskan apabila mereka digigit seekor anjing disyaki pembawa virus rabies di Taman Matang Jaya di sini hari ini.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 5.35 petang semasa anjing tersebut berada di dalam sebuah Perodua Alza.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.39 petang.


Menurutnya, lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya kemudian diarahkan ke tempat insiden bagi menangkap anjing tersebut.

“Sejurus tiba di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati seekor anjing masih berada di dalam sebuah Perodua Alza.

“Mangsa yang digigit pula sudah keluar dari kenderaan tersebut untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, pasukan bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap anjing tersebut.

Katanya, pasukan bomba terpaksa menggunakan penjerut bagi memudahkan menangkap haiwan berkenaan.

“Operasi menangkap anjing tersebut tamat pada pukul 7 malam,” katanya. — DayakDaily