Dua lelaki cedera akibat cermin lori pecah

Keadaan kemalangan melibatkan dua buah lori di Jalan Jalan Samalaju-Jalan Persisir Bintulu/Miri.

BINTULU, Jan 17: Seorang pemandu dan kelindan sebuah lori berdepan detik-detik mencemaskan apabila kenderaan yang dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah lori lain di Jalan Samalaju-Jalan Persisir Bintulu/Miri di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, seorang pemandu berusia 40 tahun dan kelindan berusia 25 tahun dilaporkan cedera ringan akibat kejadian itu.

Menurut beliau, ketika kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, lori yang dipandu Stephen Enggu dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Samalaju ke pusat bandar Bintulu.


“Bagaimanapun, sebaik tiba di laluan memotong, lori yang dinaiki kedua-dua lelaki tersebut dikatakan telah melanggar bahagian belakang sebuah lori lain yang diletakkan di tepi jalan berkenaan akibat pancit.

“Akibat rempuhan itu mengakibatkan cermin hadapan lori yang dinaiki dua lelaki terbabit pecah dan terkena dengan mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, seorang lagi pemandu lori yang pancit itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kedua-dua mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Nyabau Bintulu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Selepas menerima rawatan susulan, kedua-dua mangsa dibenarkan pulang,” ujarnya lagi. — DayakDaily