Dua lelaki ‘berani mati’ bawa dadah lalui SJR di Suba Buan, Bau

Seorang daripada dua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut.

BAU, 14 Mei: Dua lelaki bertindak ‘berani mati’ apabila ditangkap memiliki sejumlah dadah jenis syabu ketika diperiksa di sekatan jalan raya (SJR) berdekatan Kampung Suba Buan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata kedua-dua suspek yang berusia 21 dan 28 tahun itu berasal dari Kampung Tembawang Suuh semasa kejadian menaiki sebuah motosikal.

Jelasnya, mereka ditahan oleh anggota polis yang bertugas di SJR tersebut untuk pemeriksaan sekitar jam 1.20 petang.


“Semasa pemeriksaan dijalankan, anggota operasi telah menjumpai satu peket plastik lutsinar yang berisi ketulan kristal disyaki syabu di dalam beg yang dibawa oleh seorang daripada suspek.

“Kedua-dua mereka kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek seterusnya diarahkan menjalani saringan urin dan hasilnya didapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Kedua-dua suspek akan direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah berbahaya.

Jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara dan denda atau kedua-duanya sekali. — DayakDaily