Dua lekaki ditangkap polis gara-gara gaduh kerana kereta bergesel

Salah seorang suspek ditahan polis.

KUCHING, 30 April: Gara-gara bergaduh kerana kereta bergesel, menyebabkan dua lelaki tempatan ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata pergaduhan tersebut dipercayai berlaku pada 28 April di Jalan Hospital, di sini sekitar jam 2 petang.

Katanya, kejadian tersebut yang dirakam oleh orang awam kemudian tular di media sosial sehingga satu laporan berhubung kejadian dibuat pada semalam.


“Hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada berlaku pergeseran antara kedua-dua kereta suspek.

“Namun, pergaduhan tersebut berjaya dileraikan dengan baik oleh orang awam dan pengawal keselamatan yang sedang bertugas di Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh di tempat awam dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 6 bulan bagi kesalahan bergaduh di tempat awam dan penjara sehingga 7 tahun untuk kesalahan melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Hasil saringan awal air kencing juga mendapati kedua-dua suspek negatif dadah. — DayakDaily