Dua kontrak berbeza bina Jambatan Batang Lupar

Julaihi (kiri) melihat reka bentuk Jambatan Batang Lupar ketika melakukan lawatan ke tapak sebenar jambatan tersebut akan dibina.

SEBUYAU, 10 Jan: Jambatan Batang Lupar sepanjang 5.1 kilometer menyeberangai muara Batang Lupar bakal dibina melencong mengelilingi Pulau Triso terus ke Kampung Triso di seberang arah Pusa.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Perlabuhan Datuk Julaihi Narawi berkata, pembinaan jambatan tersebut yang menelan kos sebanyak RM848 juta akan dibina oleh dua kontraktor berbeza.

Katanya, kontrak kerja pertama bagi keseluruhan kerja pembinaan jambatan itu sudahpun ditawarkan kepada kontraktor berjaya bagi melaksanakan kerja di tapak lapangan jambatan tersebut.

“Jadi di sini akan ada dua kontrak berbeza iaitu pertama bagi membina jalan tuju ke arah jambatan tersebut manakala satu lagi bagi membina jambatan itu sendiri.

“Bagi pembinaan jalan tuju ke arah jambatan sudahpun di anugerahkan kepada kontraktor berjaya dan mereka telahpun memulakan kerja-kerja di tapak lapangan,” katanya ketika ditemui selepas melawat tapak majlis pecah tanah Jambatan Batang Lupar.


Beliau berkata, majlis pecah tanah tersebut yang bakal dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 18 Februari depan merupakan antara siri majlis pecah tanah untuk pembinaan sembilan jambatan menghubungkan semua laluan jalan persisir.

katanya, kerajaan Sarawak berjaya menjimatkan kos pembinaan itu sebanyak RM152 juta daripada jumlah RM1 bilion yang dianggarkan sebelum ini.

“kalau dulu anggarannya adalah sekitar RM1 bilion jadi sekarang kosnya kurang daripada jumlah tersebut jadi maknanya terdapat penjimatan kos yang kita lakukan di situ.

“Semua peruntukan bagi membina jambatan ini seperti yang semua sedia maklum adalah daripada pembiayaan penuh kerajaan Sarawak,” katanya.

Tambah Julaihi, jambatan tersebut yang merupakan jambatan merentasi sungai terpanjang di Sarawak dan Malaysia dijangka akan dapat disiapkan dalam tempoh 48 bulan dari tarikh penganugerahan projek kepada kontraktor berjaya. — DayakDaily