Dua kereta musnah terbakar selepas bertembung di Jalan Stutong

Kelihatan dua buah kereta yang terbakar sejurus terbabit dalam kemalangan.

KUCHING, Okt 3: Dua pemandu nyaris rentung selepas kereta yang dipandu terbakar sejurus terbabit dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Stutong, pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak terima laporan berhubung kejadian pada jam 2.10 pagi dan seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya diketuai oleh Chaplin Wan dengan menggunakan sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dikerahkan ke lokasi kejadian.

Menurut Chaplin, sejurus tiba di lokasi didapati dua buah kenderaan jenis Perodua Myvi dan Perodua Viva telah terbakar hampir 100 peratus.

Tambahnya, sebelum berlaku kebakaran, kedua-dua kenderaan tersebut telah terlibat dalam kemalangan dan kedua-dua pemandu berjaya keluar dengan selamat.

“Kerja-kerja pemadaman dengan menggunakan dua saluran bantu mula dan kebakaran terkawal pada jam 2.34 pagi. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Operasi ditamatkan pada jam 2.39 pagi,” katanya ketika dihubungi.