Dua kereta berlanggar, rempuh dinding stesen minyak di Jalan Bako

Keadaan di lokasi kemalangan tersebut pagi tadi.

KUCHING, 31 Mac: Sebuah kereta jenis Perodua Viva merempuh dinding stesen minyak di Jalan Bako akibat dilanggar sebuah Toyota Alphard sekitar jam 7.45 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata kereta Viva tersebut dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun dari Taman Sourabaya Height.

Difahamkan, dia semasa kejadian baharu selesai mengisi minyak apabila dilanggar dari belakang oleh kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) tersebut.


“Kereta Perodua Viva terlanggar dinding stesen minyak tersebut disebabkan MPV yang datang dari belakang telah melanggar belakangnya.

“Tiada pihak yang cedera dalam kemalangan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya juga, laporan polis berhubung kejadian telah dibuat.

“Saman juga telah dikeluarkan kepada pemandu MPV pada jam 10.25 pagi di bawah Rule 10 LN166/59,” katanya. ā€” DayakDaily