KUCHING, Julai 30: Dua pemandu berdepan detik mencemaskan apabila kenderaan mereka dihempap sebatang pokok yang tumbang di Jalan Tan Sri Ong Kee Hui berdekatan Bulatan Taman Budaya di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.13 pagi itu, dua buah kenderaan tersebut telah mengalami kerosakan akibat dihempap sebatang pokok di bahu jalan berkenaan yang secara tiba-tiba tumbang ke arah jalan raya.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, bagaimanapun, kedua-dua pemandu berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, sejurus menerima maklumat mengenai insiden itu pada pukul 7.15 pagi, sepasukan anggota bomba telah diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi memotong pokok berkenaan.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, komander operasi melaporkan terdapat dua buah kenderaan telah dihempap oleh sebatang pokok yang tumbang.
“Namun, kedua-dua pemandu dalam keadaan selamat, cuma kenderaan mereka sahaja rosak,” katanya di sini hari ini.
Tiong menambah, pasukan bomba kemudian menggunakan āchainsawā untuk melakukan kerja-kerja pemotongan pokok tersebut.
“Operasi khas itu tamat sepenuhnya setelah keadaan kembali terkawal selepas pokok tumbang tersebut dipotong dan diangkat ke bahu jalan berkenaan,” ujarnya. ā DayakDaily