Lelaki OKU ditemui mati selepas dipercayai dibaham buaya

Pasukan SAR mengangkat mayat mangsa yang ditemui mati.

LAWAS, Julai 30: Malang menimpa seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) apabila dia ditemui mati hari ini selepas dipercayai diserang dan dibaham seekor buaya di Sungai Kampung Baru Seberang Mission di sini semalam.

Mangsa, Efendy Panil, 45, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 6.40 pagi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mayat mangsa dijumpai di tebing sungai tersebut kira-kira 600 meter dari lokasi dia dilaporkan diterkam sang bedal semalam.


Katanya, pemeriksaan mendapati anggota badan mangsa masih dalam keadaan sempurna.

“Bagaimanapun, terdapat kesan calar di muka dan bahu sebelah kanannya semasa pasukan SAR mengangkat mayat mangsa.

“Mayat lelaki malang itu kemudian dibawa ke jeti kampung berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

DayakDaily semalam melaporkan seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham seekor buaya di Sungai Kampung Seberang Mission di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi itu, mangsa dilaporkan hilang semasa dia sedang membasuh pakaian di tebing sungai berkenaan.

Pihak bomba menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 12.16 tengah hari sebelum melancarkan operasi SAR. — DayakDaily