Dua keluarga terjejas selepas kediaman didiami terbakar

Kelihatan api sedang marak membakar dua buah rumah.

Oleh Dean Adam

ASAJAYA, Mac 27: Dua buah rumah di Kampung Tambirat Hilir di sini terjejas akibat kebakaran, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 3.45 petang itu mengakibatkan sebuah rumah setingkat struktur separuh kekal musnah terbakar 100 peratus.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, manakala sebuah lagi rumah terjejas kira-kira 15 peratus.

Jelasnya, sebelum itu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran berkenaan pada pukul 3.49 petang.

Katanya, sepasukan anggota bomba dari BBP Kota Samarahan kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar kediaman tersebut.

“Pasukan bomba kemudian segera melakukan operasi memadam bagi memastikan api tidak merebak ke kawasan lain,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, komander operasi melaporkan kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan.

Katanya, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 4.08 petang.

“Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian masih dalam proses siasatan,” jelasnya. — DayakDaily