Oleh Dean Adam
SARATOK, Jul 30: Malang menimpa dua keluarga apabila kediaman mereka di Kampung Melango Baru di sini musnah terbakar hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 12.10 tengah hari itu mengakibatkan 14 orang yang menetap di dua rumah terbabit tinggal sehelai sepinggang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok, Nazry Mohamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 12.15 tengah hari.
Jelasnya, seramai lapan anggota dibantu anggota empat pegawai bomba bantuan dengan sebuah jentera Fire Rescue Tander (FRT) kemudian bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar rumah jenis dua tingkat separuh kekal di situ.
“Pada masa itu, api sudah merebak ke rumah kedua sebelum kebakaran itu berjaya dikawal 33 minit kemudian,” katanya di sini hari ini
Tambah Nazri, semasa kejadian kesemua penghuni di dua rumah terbabit berjaya keluar menyelamatkan diri.
Jelasnya, pihak bomba menggunakan dua aliran 300 kaki serta salur bantu mula dalam mengawal kebakaran itu.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan.
“Operasi memadam kebakaran itulah tamat sepenuhnya pada pukul 1.42 petang,” katanya. — DayakDaily