Oleh Dean Adam
SARATOK, Nov 21: Dua individu iaitu seorang lelaki dan wanita maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Saratok-Debak di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, mangsa yang meninggal dunia dikenalpasti sebagai Joshua Jelinggai, 27, dan Kiung Ming King, 51.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok, Mahda Mos berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.36 petang.
Katanya, berdasarkan laporan diterima, kemalangan itu melibatkan kenderaan Toyota Hilux dan Perodua Myvi.
“Sebaik tiba, pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan Joshua yang tersepit di tempat pemandu Toyota Hilux.
“Begitu juga bomba bertindak mengeluarkan Kiung yang juga tersepit di dalam Perodua Myvi, manakala empat penumpang yang lain selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mahda memberitahu, mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi ditamatkan sejurus mayat mangsa dihantar ke Hospital Saratok untuk dibedah siasat,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan maut tersebut.
“Kes ini masih lagi dalam proses siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily