Dua individu ditipu sindiket Macau Scam di Padawan

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

KOTA PADAWAN: Seorang pesara mengalami kerugian sebanyak RM39,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Lim Jaw Shyong berkata lelaki tersebut terdahulu menerima panggilan telefon di rumahnya di Jalan Penrissen pada jam 9.15 pagi Rabu.

Katanya, mangsa dihubungi seseorang yang memperkenalkan dirinya sebagai Lee dari Bahagian Polis Mahkamah mengatakan anaknya ditangkap polis kerana terlibat dalam jenayah dadah.


“Bagi melepaskan anaknya dan menyelesaikan kes tersebut, mangsa telah diarahkan membuat bayaran wang tunai sejumlah RM30,000 ke satu akaun Maybank atas nama sebuah syarikat.

“Kemudian mangsa diminta untuk membayar sebanyak RM9,000 di bayar ke akaun yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, mangsa juga diarahkan memusnahkan resit bukti bayaran sementara menunggu anak mangsa dibebaskan.

Menurut Lim, mangsa setelah membuat pembayaran baharu terlintas untuk menghubungi anaknya dan ketika itu telah menyedari dirinya telah ditipu.

Mangsa kemudian terus ke balai polis untuk membuat laporan.

Sementara, Lim memberitahu, seorang suri rumah turut menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam yang berlaku pada 8 Ogos 2021.

Semasa kejadian wanita tersebut berada di rumahnya di Padawan dan menerima panggilan telefon dari suspek yang mengaku sebagai Pegawai Pengurusan Ibu Pejabat Telekom Kuala Lumpur.

“Mangsa kemudiannya diarahkan untuk menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur kerana mangsa dikatakan terlibat dalam kes judi dalam talian.

“Menurut mangsa, dia telah ditemu ramah dan suspek berjaya mendapatkan 16 digit nombor yang terdapat pada kad ATM mangsa, selain juga mengetahui jumlah wang dalam akaun simpanan dan serta wang dalam akaun ASB mangsa,” ujarnya.

Katanya lagi, suspek kemudian mengarahkan mangsa untuk membuat pindahan semua wang mangsa ke satu nombor akaun bank sebanyak RM66,000 keseluruhannya.

“Mangsa menyedari telah ditipu apabila menerima panggilan telefon tersebut daripada anaknya dan anaknya menasihatkan mangsa untuk membuat laporan polis,” katanya.

Tegas Lim, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 402 Kanun Keseksaan. — DayakDaily