Dua ditangkap, disyaki buka kaunter judi dalam talian di kedai makan

Kelihatan salah satu suspek (duduk) yang ditangkap di kedai makan.

PADAWAN, 23 Sept: Dua remaja yang disyaki buka kaunter judi dalam talian di kedai makan di Jalan Datuk Stephen Yong dan Batu Kawa ditangkap dalam operasi Op Dadu tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata kedua-dua suspek berusia 19 tahun ditangkap selepas pasukan serbuan menemui bukti mereka terlibat dalam kegiatan perjudian tersebut.

Katanya, antara bukti adalah penemuan beberapa kertas yang tercatit angka-angka dipercayai nombor ID dan kata laluan serta loteri haram.


Susulan itu, suspek yang merupakan seorang lelaki dan perempuan masing-masing ditahan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Turut dirampas daripada suspek ialah telefon bimbit dan wang tunai.

Sebarang maklumat lanjut berhubung kegiatan perjudian dalam talian boleh disalurkan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Polis memberi jaminan akan merahsiakan identiti pemberi maklumat. — DayakDaily