Dua bot nelayan ditahan kerana menangkap ikan di luar zon ditetapkan

Bot yang ditahan dalam operasi tersebut.
Advertisement

BINTULU, 12 Sept: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu telah menahan dua vesel nelayan tempatan disyaki telah melakukan aktiviti perikanan tanpa kebenaran.

Difahamkan, nelayan terbabit telah menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan seperti yang ditetapkan di dalam buku lesen.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, kedua- dua vesel nelayan tersebut masing-masing ditahan pada jarak lebih kurang empat dan lima batu nautika dari Pantai Samalaju, Bintulu pada 6 September lalu sekitar jam 6.30 pagi.

Advertisement

Katanya vesel nelayan tersebut ditahan ketika melakukan aktiviti penangkapan ikan secara menunda.

“Tangkapan dibuat atas aduan daripada komuniti nelayan setempat kerana terdapatnya segelintir vesel nelayan tempatan yang menceroboh kawasan pesisir pantai dan merosakkan peralatan menangkap ikan bagi nelayan-nelayan kecil khususnya nelayan pesisir pantai.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua vesel tersebut dikendalikan oleh lima kru termasuk tekong,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya dua orang tekong dan semua kru adalah warga Indonesia berumur dalam lingkungan 28 hingga 77 tahun.

“Pemeriksaan juga mendapati semua kru tersebut mempunyai dokumen pengenalan diri iaitu passport,” katanya.

Maritim Malaysia kemudian bertindak menyita dua bot, peralatan menangkap ikan jenis pukat tunda, beserta 150 kilogram ikan campur yang dipercayai baru ditangkap.

“Kesemua kru beserta bot nelayan ditahan dan diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut,” katanya.

Kedua-dua vesel tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.

Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan dan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

“Kita juga sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim bagi melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kecemasan di laut melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254) dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082- 432544) yang beroperasi 24 jam,” katanya. — DayakDaily

Advertisement