BINTULU, 17 Mei: Dua bot nelayan asing Vietnam disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan pada jarak lebih kurang 110 batu nautika dari Utara Tanjung Sirik ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu pada 15 Mei lalu.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bSaad berkata, kedua-dua bot nelayan asing itu telah dikesan sekitar jam 2.50 petang dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, anggota operasi kemudian melakukan pemeriksaan serta penggeledahan dan mendapati kesemua kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kesemua kru yang ditahan termasuk tekong, berumur dalam lingkungan 16 hingga 52 tahun dan merupakan warga Vietnam.
“Hasil rampasan dianggarkan berjumlah RM1.5 juta merangkumi dua bot, peralatan menangkap ikan 700 kilogram ikan campur serta 20,000 liter bekalan diesel,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kedua-dua bot nelayan asing tersebut ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.
Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM6 juta bagi empunya atau nakhoda dan RM600 ribu bagi setiap anggota kru jika disabitkan bersalah.
Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.
“Kita juga amat mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut,” katanya.
Tambahnya aduan boleh dibuat secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082- 432544) yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily