Dua beranak terkorban dalam kemalangan jalan raya

Keadaan kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di jalan raya di simpang Jalan Bahagia-Kuala Baram Bypass, Miri.

MIRI, Julai 12: Malang menimpa dua beranak setelah mereka terkorban dalam satu kemalangan jalan raya di simpang Jalan Bahagia-Kuala Baram Bypass di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 11 malam itu menyebabkan seorang bapa dan anak lelakinya maut akibat kecederaan parah pada anggota badan mereka.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu membabitkan masing-masing sebuah Proton Persona dan Toyota Hilux.


Katanya, kedua-dua mangsa yang disahkan meninggal dunia dikenalpasti sebagai Thomas Balang Apoi, 45, dan Elfhy Leonald Panai Thomas, 8.

“Berdasarkan keterangan saksi, dua beranak malang itu tersebut dikatakan sedang bergerak dari arah Pujut ke Permyjaya di sini.

“Namun, sebaik sampai di tempat kemalangan, kereta yang dipandu Thomas dipercayai tiba-tiba masuk ke simpang tanpa memberikan isyarat.

“Kecuaian pemandu tersebut telah menyebabkan Toyota Hilux yang dipandun seorang lelaki tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta dinaiki kedua-dua mangsa,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala bapanya temui ajal ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Miri.

Ujar Alexson,bpemandu Toyota Hilux yang berusia 25 tahun itu pula hanya mengalami kecederaan ringan.

Katanya, keadaan jalan adalah kering semasa kejadian itu berlaku.

“Kes berkenaan masih disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily