Oleh Dean Adam
MUKAH, Jan 10: Dua beradik yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka karam akibat dipukul ombak di Pantai Tunjang, Balingian ditemui selamat, malam tadi.
Kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 54 dan 50 tahun ditemui dalam keadaan selamat.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa pertama dikatakan berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing pantai.
Katanya, mangsa kemudian memaklumkan bahawa bot dinaiki dua beradik telah karam dipukul ombak semasa memukat obor-obor berdekatan kawasan Pantai Tunjang, Balingian.
“Mangsa kedua yang hanyut dibawa arus kemudian dijumpai oleh orang awam pada pukul 8.15 malam.
“Lelaki yang ditemui dalam keadaan lemah seterusnya dibawa oleh pihak bomba ke Klinik Balingian untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Sambil menambah, operasi ditamatkan pada pukul 8.25 malam. — DayakDaily