Dua animator muda SK Temong terima insentif kerajaan Sarawak

Abang Johari (kiri) menyerahkan insentif kepada Cleveland. Turut kelihatan di tengah Macgres dan Nabiatul Dania.

KUCHING, 16 Dis: Dua murid tahun lima dari Sekolah Kebangsaan (SK) Temong menerima insentif berjumlah RM25,000 daripada kerajaan Sarawak hari ini.

Insentif tersebut disampaikan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kepada guru besar sekolah terbabit, Cleveland Raden dalam satu majlis ringkas di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Ia susulan kejayaan dua murid terbabit yang berjaya membawa dan mengharumkan nama Sarawak serta Malaysia pada Festival Filem Sekolah-Sekolah Antarabangsa Alvorada baru-baru ini.


Pada Festival tersebut, Macgres Sawet dan Nabiatul Dania Zulfiqa berjaya menggondol anugerah ‘Best Film By Popular Jury’.

Mereka meraih anugerah itu bagi filem animasi pendek dalam kategori sekolah rendah menerusi karya bertajuk ‘Batu Bijanjii’ yang bermaksud Batu Perjanjian dalam dialek Bidayuh Bisadung. ā€” DayakDaily