DTTAS sokong pemberian gelaran ‘Datuk’ kepada Pandalela

Evelyn Julian

KUCHING, 8 Mei: Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) menyokong sepenuhnya pemberian gelaran ‘Datuk’ kepada Pandelela Rinong atas pencapaian terbaharu memenangi pingat emas Piala Dunia FINA 2021.

Setiausaha Agung DTTAS Evelyn Julian dalam satu kenyataan berkata, ratu terjun kelahiran Kampung Jugan, Bau itu sememangnya layak untuk mendapatkannya.

“Pandelela telah melakukan yang terbaik dalam acara sukan akuatik dan pencapaian beliau wajar diberi penghormatan.


“Pandalela telah berjaya mengharumkan nama Sarawak serta mendapatkan penghormatan untuk negeri dan beliau layak memperolehi yang terbaik dalam kehidupannya.

“Ini sekali gus menjadikan beliau terus cekal menyumbang lebih banyak kejayaan buat Sarawak pada masa depan,’katanya.

Tambah Evelyn lagi, berbanding mereka yang telah menerima gelaran ‘Datuk’ yang sebahagiannya tidak pernah tahu apa sumbangan mereka, Pandelela pula sebaliknya.

Malah katanya lagi, memenangi pingat itu bukanlah sesuatu yang mudah tetapi ratu terjun kita telah membuktikan bahawa beliau boleh melakukannya.

“Kita juga melahirkan rasa kagum dan mengakui bahawa Pandelela membuktikan kepada dunia sebuah negara kecil juga boleh menjadi gergasi dalam sukan dunia.

“Pandelela membuktikan kepada negara-negara maju bahawa kita bukanlah pesaing biasa tetapi mampu memberi cabaran sengit kepada atlet terjun dari negara yang mempunyai kemudahan paling lengkap dan jurulatih bertaraf dunia,” ujar Evelyn lagi.

Pandelela meraih pingat emas acara 10 meter (m) platform individu wanita dengan mengumpul 355.70 menewaskan penerjun tuan rumah Matsuri Arai di tempat kedua dengan 342 mata manakala Caeli Mckay dari Kanada ketiga dengan 338.55 mata. — DayakDaily