KUCHING, 27 MEI: Persatuan Think Tank Dayak Sarawak (DTTAS) seru masyarakat Dayak untuk memanfaatkan media sosial pada sambutan Hari Gawai tahun ini.
Presidennya Elias Lipi Mat berkata, akibat larangan aktiviti ziarah dan balik kampung dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini, Hari Gawai boleh diraikanMovement C dengan cara baharu.
“Bagi yang tidak dapat meraikan Hari Gawai Dayak dengan keluarga tersayang disebabkan oleh PKPB, kita berharap agar anda semua cekal dan tabah.
“Namun, kita boleh meraikannya dengan cara baharu, iaitu dengan menggunakan gajet dan perisian yang ada dengan berkomunikasi secara video di atas talian bersama saudara-mara di mana jua mereka berada, sama ada di dalam mahupun di luar negara,’katanya menerusi kenyataan hari ini.
Elias turut merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua petugas barisan hadapan yang telah banyak berkorban di sepanjang tempoh dua tiga bulan ini untuk memastikan semua rakyat Malaysia terselamat daripada wabak Covid-19.
Katanya, mereka (petugas barisan hadapan) adalah wira negara dan pengorbanan yang dicurahkan itu akan menjadi tauladan baik buat semua rakyat Malaysia.
“Setiap rakyat Malaysia harus mengambil tanggungjawab sendiri untuk mencegah jangkitan Covid-19 ini dan sentiasa ingat bahawa virus ini boleh berjangkit melalui sentuhan dan tidak melalui udara.
“Amalan mengguna topeng muka dan menjaga kebersihan di tempat awam mampu mengelakkan jangkitan Covid-19,” ujar beliau.—DayakDaily