KUCHING, 14 Ogos: Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) bersama Masterpiece akan menganjurkan Pameran Pendidikan 2022 pada 16 hingga 17 September ini di Dewan Komuniti Sibu Jaya.
Setiausaha DTTAS Malvina Albert Klinsing berkata, ia bagi memberi peluang kepada lepasan sekolah di luar bandar mendapatkan maklumat pendidikan, latihan dan bantuan pendidikan.
“Pameran Pendidikan DTTAS Sibu 2022 ini adalah bagi memenuhi tuntutan pelajar lepasan SPM dan STPM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Melalui pameran itu tambah Malvina, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berpeluang memilih kursus atau bidang yang sesuai dengan kelulusan dan minat mereka.
Katanya, DTTAS dan Masterpiece menyedari perkara ini dan bercadang untuk memberi bimbingan dan panduan penting kepada golongan terbabit.
“Kita mahu mereka dilengkapi dengan maklumat tepat dan dapat membantu mereka supaya tidak tersalah pilih laluan kerana jika ia berlaku, maka boleh membawa kepada masalah pada masa depan.
“Penganjuran program ini adalah sebagai panduan kepada golongan pelajar dalam membuat keputusan bijak dan tidak membazir masa dan wang ringgit seterusnya mengakibatkan mereka terlepas peluang mendapatkan pekerjaan lebih baik setelah tamat pengajian,” ujar beliau.
Selepas Sibu, DTTAS akan meneruskan siri jelajah ke pekan lain di luar bandar dan Kanowit telah dipilih sebagai destinasi seterusnya. — DayakDaily