DTTAS: Bersatu membendung penularan pandemik Covid-19

Ricky Bakir

KUCHING, 21 Okt: Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) mahukan tindakan lebih tegas diambil oleh pihak berkuasa terhadap individu yang masih degil dan tidak ikut arahan prosedur operasi ‘standard’ (SOP) pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

DTTAS menerusi kenyataan bersama Naib Presiden Ricky Bakir dan Setiausaha Agung Evelyn Julian berkata, sesuatu yang amat dikesali apabila masih ada yang tidak serius terhadap isu Covid-19.

“Oleh yang demikian, rakyat di Sarawak harus sentiasa prihatin terhadap tanggungjawab membendung penularan wabak Covid-19.


“Pada ketika ini, semua pihak perlu bersatu padu merentas segala halangan parti politik demi kesejahteraan dan elak tuduh-menuduh serta mempolitikkan usaha memerangi wabak ini.”

Menerusi kenyataan itu juga DTTAS berkata, bukan sahaja negara Malaysia melalui masa yang sangat sukar malah negara lain turut sama terpalit dengan kemerosotan kesihatan dan kejatuhan ekonomi yang sangat membimbangkan.

Katanya, kini Malaysia sedang melawan musuh ‘halimunan’ yang tidak dapat dilihat yang boleh menyebabkan kematian.

“Justeru, setiap rakyat harus mengambil tanggungjawab sendiri untuk mencegah jangkitan Covid-19 ini,” menurut kenyataan itu.

Evelyn Julian

Tambah DTTAS, pastinya kerajaan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengambil kira semua sebelum buat keputusan.

“Setidaknya kerajaan telah maklumkan lebih awal supaya kita lebih bersedia mengharungi PKPP sehingga 31hb Disember 2020.

“Pelanjutan tempoh PKPP itu bermakna tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 masih digunakan.” — DayakDaily