Dr Sim: Tujuh penyandang kerusi SUPP pasti bertanding pada PRN12

Dr Sim when met by the press on Nov 8, 2021.

KUCHING, 8 Nov: Senarai calon daripada Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) yang melibatkan muka lama dan baru telah diserahkan kepada Presiden Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurut Presiden SUPP Dato Sri Dr Sim Kui Hian, tujuh penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan mempertahankan kerusi masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

“Sebelum nama-nama calon ini diserahkan, parti telah mengadakan perbincangan dan yang pasti tujuh penyandang akan bertanding pada pilihanraya kali ini,” katanya ketika ditemui di Perasmian Taman Tebingan Batu Kawah di sini hari ini.


Selain Dr Sim yang akan bertanding DUN Batu Kawa, enam calon lain ialah Setiausaha Agung Datuk Sebastian Ting di Piasau, Naib Presiden Dato Sri Lee Kim Shin (Senadin), Datuk Ding Kuong Hiing (Meradong), Dato Sri Huang Tiong Sii (Repok), Datuk Francis Harden Hollis (Simanggang) dan Lo Khere Chiang (Batu Kitang).

GPS merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), SUPP serta Parti Demokratik Progresif (PDP).

Sebanyak 20 kerusi tradisional SUPP adalah Opar, Padungan, Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Batu Kitang, Batu Kawah, Mambong, Simanggang, Engkilili, Repok, Meradong, Bukit Assek, Dudong, Bawang Assan, Pelawan, Tanjung Batu, Piasau, Pujut dan Senadin.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 3 November lepas menamatkan proklamasi darurat di Sarawak yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lalu.

Ini akan membuka jalan supaya pilihan raya negeri dapat diadakan dalam tempoh 60 hari. — DayakDaily