Oleh Chris Bishop
SAMARAHAN, 11 Julai: Sarawak semakin hampir memasuki Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Menurut beliau, ia akan melibatkan pembukaan banyak lagi aktiviti ekonomi termasuk ‘dine in’ dan matlamat fasa tersebut adalah untuk menyelamatkan kehidupan rakyat.
“Pada bulan lepas (Jun), kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan tujuan untuk menyelamatkan nyawa rakyat.
“Ini adalah kerana tahap penggunaan hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) telah penuh.
“Pada bulan Julai ini, keutamaan kita ialah untuk menyelamatkan kehidupan rakyat. Tidak lama lagi kita akan masuk ke Fasa Kedua,” katanya ketika ditemui di Program Pantry Komuniti di Pusat Beli Belah Lepapa Samarahan hari ini.
Tambah Dr Sim, untuk bergerak ke Fasa Kedua, program vaksinasi diteruskan dan sehingga kini lebih 50 peratus penduduk negeri ini telah menerima suntikan dos pertama.
Beliau berharap pada 22 Julai nanti, sejumlah 50 peratus penduduk akan selesai dua dos vaksin.
Namun dengan kemunculan varian Delta katanya, rakyat harus terus berjaga-jaga, mematuhi prosedur operasi ‘standard’ (SOP), sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.
“Kita semakin hampir untuk memasuki Fasa Kedua. Saya harap kes positif Covid-19 semakin turun dan kadar vaksinasi meningkat.
“Pada Fasa Kedua nanti kita membenarkan ‘dine in’ dengan SOP yang ketat, seterusnya memasuki Fasa Ketiga dan ia bertujuan menyelamatkan kehidupan rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Sim berkata Sarawak masih belum bersedia untuk membenarkan aktiviti sosial seperti majlis harijadi dan perkahwinan.
Pada Program Pantri Komuniti hari ini, Lepapa telah menyumbang sebanyak 200 bakul makanan kepada penduduk setempat.
Hadir sama Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan Dato Peter Minos. — DayakDaily