Dr Sim mahu Sarawak dan Sabah membentuk satu pertiga ahli Dewan Rakyat

Professor Datuk Dr Sim Khui Hian
Advertisement

KUCHING, Mei 1: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan berusaha meningkatkan bilangan Ahli Parlimen dari Sarawak dan Sabah sehingga satu pertiga dari keseluruhan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat sekiranya calon Barisan Nasional (BN) dari parti itu menang di kerusi Parlimen Stampin pada pilihanraya umum (PRU14) ini.

Presiden SUPP dan calon BN Parlimen Stampin, Professor Datuk Dr Sim Kui Hian berkata demikian berikutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 sepatutnya Ahli Parlimen dari Sarawak dan Sabah merangkumi satu pertiga dari keseluruhan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

“Sekiranya saya menang di Parlimen Stampin, saya mahu jumlah Ahli Parlimen dari Sarawak dan Sabah ditingkatkan sehingga satu pertiga seperti dalam semangat asal Perjanjian Malaysia 1963. Saya (sebagai bekas Senator di Dewan Negara sebelum ini) sudah menyatakan perkara ini dua atau tiga kali, terkini pada Mac 27 lepas,” katanya pada sidang media di pejabat SUPP Cawangan Batu Kawah di MJC Batu Kawah, di sini, hari ini.

Advertisement

Dr Sim berkata perkara itu penting kerana dengan adanya Ahli Parlimen seramai satu pertiga di Dewan Rakyat, sebarang undang-undang negara ini yang membabitkan hak Sarawak dan Sabah tidak boleh diubah sekiranya tidak mendapat persetujuan dari kedua-dua negeri.

“Ketika ini jumlah Ahli Parlimen Sarawak dan Sabah berkurangan kepada 25 peratus sahaja dari keseluruhan Ahli Parlimen negara ini. Bayangkan sekiranya negeri lain bersatu dan meminda undang bagi mengambil hak kedua-dua negeri,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Sim berazam sekiranya menjadi Ahli Parlimen Stampin mahu memperjuangkan perkara itu supaya kepentingan dan hak generasi masa depan penduduk negeri ini dan Sabah dapat dipelihara malahan mendedahkan pemimpin terdahulu menetapkan Ahli Parlimen di kedua-dua negeri perlu satu pertiga kerana mereka tahu populasi penduduk negeri ini dan Sabah adalah sedikit berbanding penduduk negeri Semenanjung.

“Populasi penduduk negeri ini hanya seramai tiga juta orang; kalau semua ada tiga orang anak, populasi terbabit akan meningkat kepada sembilan juta, tetapi negeri di Semenanjung populasi mereka akan meningkat kepada 60 juta orang dan terus meningkat bilangan Ahli Parlimen mereka,” katanya.

Disamping itu, Dr Sim kecewa dengan pembangkang yang hanya mahu memberikan Sarawak sebanyak 10 peratus dari hasil minyak dan gas negeri ini dan bukannya 100 peratus seperti yang ada dilaporkan dalam akhbar tempatan.

“Petronas mendapat RM45 bilion keuntungan tahun lepas, RM15 bilion dari keuntungan itu hasil minyak Sarawak, ini maknanya RM15 bilion itu lebih dari 10 peratus,” katanya.

Katanya BN sudah menyatakan dalam manifesto yang mereka akan memulangkan semula hasil minyak dan gas negeri ini tetapi pembangkang dengan hanya 10 peratus sahaja menunjukkan mereka mendahulukan kepentingan negeri Semenanjung dan bukan mendahulukan kepentingan Sarawak.

Selain itu, beliau mendedahkan cukai persekutuan tahun lepas dikutip dari rakyat Sarawak berjumlah RM3.5 bilion dan kalau rakyat Sarawak bersetuju, RM15 bilion keuntungan hasil minyak negeri ini boleh digunakan bagi membayar cukai itu dan rakyat negeri ini bebas dari dibebankan dengan cukai seperti rakyat Brunei. ā€” DayakDaily

Advertisement