Dr Noor Hisham: Enam penumpang Westerdam negatif Covid-19, dibenarkan meneruskan perjalanan

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, Feb 17: Enam penumpang kapal persiaran Westerdam yang kini berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disahkan negatif jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan media berkata, keputusan ujian pengesanan Covid-19 baru sahaja diperolehi daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“Keputusan ujian yang dijalankan pada 16 Februari 2020 ke atas mereka baru sahaja diperolehi daripada IMR dan mereka disahkan negatif untuk jangkitan tersebut,” katanya.


Sehubungan itu, tambah Dr Noor Hisham, pihak kedutaan yang berkenaan telah dimaklumkan mengenai keputusan ujian tersebut.

Menurut beliau lagi, penumpang kapal berkenaan dibenarkan menaiki penerbangan untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing yang selanjutnya.

Pada sidang Media Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada 16 Februari lepas, beliau telah memaklumkan mengenai baki enam orang penumpang.

Enam penumpang tersebut iaitu empat warganegara Amerika Syarikat dan dua warganegara Netherlands berada di KLIA menunggu kebenaran menaiki penerbangan mereka selanjutnya. — DayakDaily