Dr Noor Hisham: 39 kes positif Covid-19 baharu dicatat hari ini

Medicine and healthcare. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 28 Julai: Sebanyak 39 kes positif baharu Covid-19 dalam negara dilaporkan hari ini melibatkan 28 kes penularan tempatan dan 11 kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 sebanyak 8,943 kes.

Dengan itu katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 212 kes.

“Ingin dimaklumkan daripada 39 kes baharu yang dilaporkan, 11 kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan empat warganegara Malaysia dan tujuh bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia.

“Manakala daripada 28 kes penularan di dalam negara, 22 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia dan enam kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan kekal 124 kes.

Beliau turut memaklumkan sebanyak enam kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 8,607 kes atau 96.24 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, hanya satu kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. — DayakDaily