Dr Teo: Vaksin Covid-19 selamat, jangan percaya golongan anti-vaksin

Ahli Parlimen Miri, Dr Micheal Teo Yue Keng

KUCHING, 11 Mac: Orang ramai diseru untuk tidak terus mempercayai dakyah golongan antivaksin yang terus menyebarkan maklumat tidak sahih yang bertujuan bagi memberikan persepsi buruk berkenaan Vaksin Covid-19 sehingga melemahkan semangat orang ramai untuk mengambil vaksin tersebut.

Ahli Parlimen Miri, Dr. Micheal Teo Yue Keng berkata, maklumat yang disebarkan oleh golongan terbabit adalah tidak tepat sama sekali kerana Vaksin Covid-19 yang digunakan dalam program Imunisasi Kebangsaan adalah selamat dan ia telahpun dilulukan oleh Bahagian Regulartori Farmasi Negara (NPRA).

“Semua rakyat harus tampil dan mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 agar dapat melindungi diri sendiri dan juga melindungi orang lain.


“Sungguhpun sudah ada vaksin, orang ramai perlu sentiasa sentiasa memastikan diri masing-masing dalam keadaan bersih, menggunakan topeng muka serta meningkatkan amalan penjagaan kesihatan diri mereka bagi menghindari diri dan ahli keluarga daripada dijangkiti oleh wabak Covid-19,” katanya.

Dr Micheal Teo berkata demikian menerusi satu kenyataan selepas mengambil suntikkan vaksin Covid-19 hari ini sekaligus membolehkan beliau terus berkhidmat di kawasan parlimennya.

Ketua Biro Kesihatan Wanita Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Sarawak, Cecilia Siti Una

Sementara itu, Ketua Biro Kesihatan Wanita Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Sarawak, Cecilia Siti Una berkata penerimaan orang ramai terhadap Program Vaksinasi Covid-19Kebangsaan merupakan aspek penting dalam menjayakan usaha memutuskan rantaian wabak itu di negara ini.

Katanya, Keadilan Sarawak percaya vaksin tersebut akan membantu negara untuk pulih khususnya dalam bidang ekonomi sekaligus membolehkan rakyat di negara ini dapat menjalani kehidupan bersama keluarga dengan selamat.

Justeru, ujarnya, orang ramai khususnya warga emas digalakkan untuk segera mendaftarkan diri mereka untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Walaubagaimanapun, kita juga mengingatkan orang ramai untuk elakkan bersentuhan dan bersalaman dan elakkan daripada menghadiri sebarang bentuk perhimpunan yang boleh mendedahkan diri kepada jangkitan virus ini,” katanya. -DayakDaily