Dr Chin: Kuching berpotensi kembali ke Zon Merah Covid-19

Dr Chin Zin Hing (file pic)

KUCHING, 9 Jan: Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Chan Zin Hing bimbang Kuching akan sekali lagi menjadi Zon Merah Covid-19 jika masyarakat tidak berusaha menghentikan penyebaran jangkitannya.

Menurut beliau, bilangan kes di Sarawak telah menunjukkan peningkatan dengan banyak daerah telah berubah menjadi zon kuning dan mungkin jingga atau merah.

“Jika kita lalai, sistem perkhidmatan kesihatan kita akan terlalu terbeban sepertimana yang berlaku di Semenanjung Malaysia sekarang.


“Semestinya kita tidak mahu ianya berlaku di Sarawak. Jangkitan Covid-19 telah banyak menjejaskan aktiviti seharian kita dan kesihatan orang yang tersayang,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Dr Chin, majoriti daripada mereka yang dijangkiti Covid-19 tidak menunjukkan sebarang simptom atau simptom ringan yang mudah sahaja diabaikan.

Jelas beliau, kes-kes terkini menunjukkan bahawa Covid-19 telah merebak dalam komuniti termasuk melibatkan mereka dalam kalangan usia semuda empat bulan hingga 86 tahun.

“Daerah-daerah seperti Sri Aman, Betong, Kapit dan Lawas yang sebelumnya bebas dari jangkitan kini mula terjejas.

“Golongan yang bekerja dalam komunitilah yang membawa Covid-19 bersama mereka lalu menjangkiti anak-anak dan warga usia emas dalam keluarga.

“Sebagai tambahan, rakan-rakan saling menjangkiti satu sama lain melalui perjumpaan sosial mereka,” ujar Dr Chin.

Justeru beliau menggesa seluruh rakyat negeri ini untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Katanya, amatlah penting untuk mengamalkan penjarakan fizikal pada setiap masa dengan orang di sekeliling anda.

“Sila dapatkan ujian di klinik yang berdekatan jika merasakan diri anda berisiko terdedah kepada jangkitan,” katanya. — DayakDaily