Dr Abd Rahman: Patuhi SOP ketika sambut ambang tahun baru

Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi (enam dari kanan) bersama pelajar dari DUN Pantai Damai yang menerima sumbangan bagi melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi

KUCHING, 29 Dis: Setakat ini belum ada sebarang arahan melarang warga bandar raya ini keluar rumah waktu malam bagi menyambut ambang tahun baharu 2021 pada 31 Disember depan.

Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata demikian dan meminta warga bandar raya ini sentiasa berwaspada sekiranya keluar rumah pada malam 31 Disember depan bagi meraikan sambutan terbabit yang tinggal dua hari lagi.

“Untuk bandar raya Kuching seperti biasa kita tidak ada larangan, yang hanya kita sarankan ataupun nasihatkan kepada warga Kuching sentiasa mematuhi garis panduan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) selama ini,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.4 Pantai Damai, Jalan Haji Taha, di sini hari ini.


Keseluruhannya seramai 49 pelajar dari DUN Pantai Damai yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi telah menerima sumbangan terbabit.

Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi (kanan) menyampaikan sumbangan kepada pelajar dari DUN Pantai Damai yang akan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi

Dr Abdul Rahman Junaidi berkata garis panduan itu sentiasa berubah mengikut keadaan dan setakat ini warga bandar raya ini boleh berkumpul tetapi dalam jumlah terhad dan wajib mengamalkan penjarakkan fizikal sesama mereka dan memakai pelitup muka sepanjang masa.

“Seandainya ada dikalangan rakan kita berada dalam keadaan tidak sihat, nasihatkan mereka supaya tidak mengambil bahagian dalam aktiviti yang hendak kita anjurkan semasa sambutan tersebut,” katanya.

Beliau berkata warga bandar raya ini bagaimanapun tidak digalakkan berkumpul dalam kumpulan besar semasa sambutan terbabit dan ini bagi memastikan kes jangkitan Covid-19 di bandar raya ini dan Sarawak terus kekal rendah. — DayakDaily